1. Berapakah keperluan gula yang disarankan untuk diambil oleh individu dalam sehari?
Menurut kajian yang dijalankan oleh WHO, setiap individu disarankan untuk mengambil sebanyak 50 gram atau 10 sudu teh gula sehari dan jumlah ini turut dibekalkan kepada individu melalui pengambilan makanan yang mempunyai gula secara semulajadi seperti nasi, mee, buah-buahan dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, pengambilan gula melebihi keperluan tubuh akan memberi pelbagai kesan buruk kepada individu.
Maklumat diperolehi daripada laman web:www.myhealth.gov.my
2. Jumlah penggunaan gula harian masyarakatMalaysia kini?
Menurut kajian yang dijalankan oleh CAP pada tahun 1970-an penduduk Malaysia mengambil kira-kira 17 sudu teh gula sehari manakala pada tahun 1980-an angka itu meningkat kepada 21 sudu teh. Menjelang tahun 1990-an, penggunaan gula dikalangan rakyat Malaysia telah meningkat kepada 24 sudu teh dan pada masa kini pula angka itu telah meningkat kepada 26 sudu teh.
Maklumat dari kenyataan akhbar oleh CAP pada 24 Julai 2009.
3. Apakah maksud sumber ’gula yang tersorok’?
Maksud sumber ’gula yang tersorok’ ialah gula yang digunakan sebagai pemanis utama di dalam pembuatan kebanyakan makanan seperti pembasuh mulut, aiskrim, gula-gula, pastri, biskut, minuman ringan, minuman manis (contohnya teh tarik) dan kuih. Gula juga kerap digunakan sebagai pengawet asli, pemekat dan sebagai agen pembantu semasa makanan dibakar. Gula biasanya ditambah kepada makanan semasa pemprosesan dan persediaan atau ditambah semasa makanan di makan.
Sumber dari Panduan Diet Malaysia 1999 (Keluaran KKM)
4. Kesan-kesan buruk pengambilan gula secara berlebihan dalam diet harian mereka?
Terdapat 60 jenis penyakit berbahaya yang dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan. Antaranya ialah kanser, diabetis, kegemukan (obesiti), masalah jantung, osteoporosis, masalah buah pinggang, asma, alahan dan penurunan metabolisma dalam badan. Menurut Institut Diabetes Antarabangsa, Malaysia mempunyai jumlah penghidap diabetes yang ke empat tertinggi di Asia . Daripada sejumlah 800,000 pesakit diabetes yang disenaraikan pada tahun 2007, jumlahnya dijangka meningkat kepada 1.3 juta pada tahun 2010.
Maklumat dari kenyataan akhbar oleh CAP pada 24 Julai 2009
5. Bagaimanakah untuk mengurangkan penggunaan gula di dalam kehidupan seharian?
Berikut adalah beberapa tip untuk mengurangkan penggunaan gula di dalam kehidupan seharian kita:
· Elakkan minuman berkarbonat, jus yang mempunyai banyak gula, ais krim, kek dan gula-gula.
· Kurangkan pengambilan makanan yang telah diproses kerana mempunyai kandungan gula yang tinggi.
· Amalkan memasak makanan sendiri. Anda sukar untuk mengetahui berapa kandungan gula yang diambil jika makan di luar.
· Kurangkan jumlah gula, susu atau krimer pekat manis. Selalu minta untuk mengurangkan manis di dalam minuman apabila minum di luar.
· Baca jumlah kandungan gula pada label makanan. Ini dapat mengelakkan anda dari mengambil gula secara berlebihan.
· Amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan lebih banyak senaman untuk membakar kalori (gula) di dalam badan anda.
· Gantikan minuman manis seperti air berkarbonat dengan jus buah-buahan yang tidak mempunyai sebarang gula tambahan.
· Gantikan makanan ringan seperti biskut dengan memakan buah-buahan yang segar.
· Gantikan gula di dalam makanan dengan kemanisan dari sumber semula jadi seperti buah-buahan atau madu.
· Kurangkan makanan dan minuman manis secara perlahan-lahan contohnya jika anda minum minuman manis dua kali sehari, cuba kurangkan kepada satu kali sehari seterusnya kepada seminggu sekali sahaja. Banyakkan meminum air kosong kerana ia bagus untuk kesihatan.
Maklumat dari Buletin Pengguna Ogos 2008
No comments:
Post a Comment